Cari Entri WADi

Rabu, 11 Mac 2015

Sa’id bin Musayyib (wafat 94 Hijrah)




Sa’id bin Musayyib (wafat 94 Hijrah)


Beliau ialah Sa’id bin Musayyib bin Hazn bin Abi Wahb bin Amr al-Quraish al-Makhzumi al-Madani salah seorang kibar tabi’in. Digelar Abu Muhammad. Berkenaan nama bapanya, Hazn yang bermaksud kesusahan, terdapat riwayat daripada Ibnu Sa’ad di dalam kitab al-Thabaqaatnya bahawa bapanya pernah datang kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam lalu Baginda bertanya kepadanya

“Siapakah namamu?” Lalu dia menjawab, “Aku Hazn (susah)”. Baginda menjawab, “Sesungguhnya engkau Sahl (mudah)”. Lalu Hazn berkata: “Wahai Rasulullah, nama ini diberikan oleh ibu bapaku dan aku dikenali dengan nama ini dalam kalangan masyarakat.” Maka Nabi pun mendiamkannya.

Sa’id bin Musayyib berkata, “Maka kami daripada keluarga Hazn terus dikenali sebagai keluarga yang susah.” [Thabaqaat al-Kubra 5/119. Az-Zahabi dalam Siyar mengatakan riwayat ini mursal sedangkan mursal Sa’id boleh dijadikan hujjah.]

Beliau dilahirkan pada zaman Khalifah Umar bin Al-Khattab memerintah atau empat tahun sebelum beliau menjadi khalifah. Sebahagian berpendapat bahawa beliau dilahirkan dua tahun sebelum Umar al-Khattab menjadi khalifah. [Tarikh al-Islam li al-Zahabi 6/371]

Beliau meriwayatkan hadith dan pelbagai ilmu daripada Abu Bakar secara mursal, Uthman, Ali, Sa’ad bin Abi Waqqas, Ibnu Abbas, Ibnu Umar, Ibn Amr bin Al-Ash, bapanya sendiri, Abu Zarr, Abu ad-Darda’, Hassan bin Thabit, Zaid bin Thabit dan ramai lagi sahabat yang lain.

Murid-muridnya pula terkenal dalam kalangan pembesar tabi’in seperti anaknya Muhammad, Salim bin Abdullah bin Umar (anak Ibn Umar), Az-Zuhri, Qatadah, Amir bin Murrah, Yahya bin Sa’id al-Ansari, Ibn al-Munkadir dan ramai lagi. 


Ibadahnya

Beliau terkenal sebagai seorang faqih dan ahli ibadah sebagaimana yang diriwayatkan daripada Ibnu Harmalah bahawa Sa’id bin Musayyib berkata: “Aku tidak pernah tinggal solat berjemaah sejak 40 tahun.” [Hilyah al-Auliya’ 2/162]

Dalam riwayat lain dia menyebutkan: “Tidaklah muazzin mengumandangkan azan semenjak 30 tahun yang lalu melainkan aku telah berada di Masjid.”

Kesibukannya beribadah menyebabkan beliau jarang bertandang ke rumah orang lain tanpa sebab. Beliau berkata: “Tidak ada satu rumah pun setelah rumahku di Madinah yang pernah menaungiku kecuali rumah di mana kadang-kala aku datang mengunjungi anak perempuanku untuk mengucapkan salam kepadanya.” [Thabaqat al-Kubra 5/131]


Tidak diragukan lagi bahawa beliau merupakan faqih yang menjadi ikutan ramai pembesar salaf yang lain sehingga Yahya bin Hibban berkata: “Beliau ialah pemimpin Madinah di zamannya dan didahulukan berbanding orang lain dalam fatwa. Bahkan dia disebut sebagai faqih al-fuqaha’. ” 

Qatadah berkata: “Aku tidak pernah melihat sesiapa pun yang lebih faqih tentang halal dan haram selain Sa’id bin Musayyib.” [Tahzib al-Kamal 11/71]

Ibnu Syihab az-Zuhri pernah ditanya tentang gurunya, daripada manakah beliau mengambil ilmu. Lalu Az-Zuhri menjawab: “Dia mengambil ilmu daripada Zaid bin Thabit dan dia juga hadir ke majlis Sa’ad bin Abi Waqqas, Ibnu Abbas dan Ibnu Umar. Dia juga belajar daripada isteri-isteri Nabi iaitu Aisyah dan Ummu Salamah. Kebanyakan riwayatnya daripada Abu Hurairah sehinggakan Abu Hurairah menikahi beliau dengan puterinya. Dia juga mendengar daripada Umar dan Uthman sehinggakan ada yang berkata bahawa tidak ada yang lebih tahu tentang fatwa Umar dan Uthman selain daripada Sa’id.” [Thabaqat al-Kubra 2/380]

Malik mengatakan: “Said bin Musayyib disebut sebagai ‘perawi Umar’ kerana dia sering mengikut keputusan Umar dan mempelajarinya bahkan Ibnu Umar sendiri benar-benar mengirimkan utusan kepadanya (untuk bertanya tentang itu kepada Sa’id).” [Tarikh al-Islam 6/372]

Abu Ali bin Husain berkata: “Sa’id bin Musayyib orang yang paling tahu tentang athar-athar terdahulu dan paling faqih di antara mereka yang sezaman dengannya dalam pendapatnya.” [Tarikh al-Islam 5/121-122]

Beliau juga pakar dalam mentakwil mimpi sebagaimana yang disebutkan oleh Az-Zahabi bahawa al-Waqidi menyebutkan: “Sa’id bin Musayyib ialah orang yang paling pandai mentakwil mimpi. Dia mengambil ilmu itu daripada Asma’ binti Abu Bakar as-Siddiq dan Asma’ mengambil ilmu itu daripada ayahnya, Abu Bakar as-Siddiq.” 



Kewafatannya

Daripada Yahya bin Sa’id berkata: “Ketika Sa’id bin Musayyib menghadapi sakaratul maut, dia meninggalkan sejumlah dinar lalu berkata: “Ya Allah, sesungguhnya Engkau tahu bahawa aku tidak meninggalkannya melainkan untuk memelihara nama baik keluargaku dan agamaku.” [Siyar a’lam an-Nubala’ 4/245]

Sa’id wafat pada tahun 94 Hijrah pada tahun pemerintahan Khalifah al-Walid bin Abdul Malik ketika berusia 75 tahun. Tahun kematiannya disebut sebagai tahun fuqaha’ kerana ramai di kalangan fuqaha’ meninggal pada tahun tersebut antara yang lainnya ialah Urwah bin Az-Zubair, Abu Bakar bin Abdulrahman al-Makhzumi, Zainal Abidin Ali bin Husain, Abu Salamah bin Abdulrahman bin Auf.


Semoga Allah merahmati para pendahulu ummat dan Imam-Imam kita semua.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Makluman dari (WADi)


1. Selamat datang ke Laman WADi

2. Laman WADi adalah laman berbentuk ilmu pelbagai namun lebih menjurus kepada keagamaan.

3. Metod penulisan berdasarkan pelbagai sumber.Sumber utama adalah Al-Quran, Al-Hadith, Athar, dan Ijmak ulama' .

4. Pelawat bebas untuk follow atau tidak blog ini.

5. Pelawat dibenarkan untuk menjadikan WADi sebagai bloglist anda jika bermanfaat.

6. Anda dibenarkan untuk mengambil mana-mana artikel dan penulisan WADi dengan memberi kredit kepada WADi. Jika itu membuatkan anda berasa keberatan (memberi kredit kepada WADi, maka anda tidak perlu berbuat demikian). Asalkan ilmu itu sampai kepada semua. Terpulang kredibiliti anda sebagai penulis.

7. Tidak ada copyright di WADi, apa yang ditulis disini adalah untuk disampaikan. Ilmu itu milik Allah.

8. Penulis merupakan insan biasa yang banyak kesilapannya termasuk ketika menulis. Jika anda terjumpa sebarang kekeliruan, kesilapan berkaitan permasalahan hukum, dalil, hadith, atsar dan sebagainya , sila maklumkan WADi melalui email. Teguran secara baik amat kami hargai.

9. Hubungi saya melalui email : addien90@yahoo.com

10. Selamat membaca, menimba ilmu dan menyebarkan ilmu.

Klik Klik